MELAKA: Kerajaan negeri menerima peruntukan tambahan RM2 juta daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bagi tujuan promosi Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing berkata langkah itu sebagai sokongan kementerian atas hasil kerja keras Melaka dalam membawa masuk pelancong yang sekali gus membantu merancakkan ekonomi negeri.

"Tahniah kepada Melaka terutama Exconya yang bekerja keras, malah bersama-sama MOTAC mempromosikan Melaka bahkan Malaysia ke China.

"Jika beliau (Exco) lebih agresif promosi di luar negara dan bawa masuk pelancong ke Melaka, ekonomi negeri ini akan terus berkembang," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Tahun Melawat Melaka dan Ambang Tahun Baru 2024 di Pangkalan Rama di sini malam tadi.

Mengulas lanjut, Tiong berkata MOTAC sentiasa bersedia untuk membantu semua negeri termasuk yang turut melaksanakan TM2024 selain Melaka iaitu Perak, Perlis dan Kelantan dalam mencapai sasaran pelancong seperti yang dirancang.

"Selain Melaka, hanya Perak yang menyatakan hasrat untuk memohon dana tambahan bagi tujuan promosi pelancongan negeri mereka ... kita akan lihat perkara itu dan bantu mana yang boleh," katanya.

Sementara itu, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata dana tambahan itu merupakan satu berita baik dan akan menjadikan promosi dan program TMM2024 lebih rancak.

"Ini juga menunjukkan MOTAC sentiasa menyokong kerajaan negeri dalam mempromosikan sektor pelancongan yang tertakluk di bawah kota warisan diiktiraf UNESCO yang perlu dijaga dan dipelihara untuk diwariskan kepada generasi akan datang.

"Saya amat menghargainya dan berterima kasih kepada MOTAC yang telah bersungguh-sungguh dengan kerajaan negeri mempromosikan TMM2024 dan memelihara warisan dunia yang telah diiktiraf oleh UNESCO," katanya.

Terdahulu, hampir 40,000 pengunjung memeriahkan pelancaran TMM2024 yang turut disiarkan secara langsung ke Wilayah Autonomi Zhuang Guangxi, China yang mempunyai 58 juta penduduk.

Sambutan yang dimulakan dengan perarakan membawa Yang Dipertua Negeri Tun Mohd Ali Mohd Rustam, Ab Rauf serta Tiong dengan bot berhias ke pentas utama itu turut dihadiri barisan kepimpinan negeri, jabatan dan agensi.

-- BERNAMA